Pengurusan kelas merupakan kemahiran yang agak sukar untuk dikuasai oleh guru walaupun banyak teori dan teknik yang telah dipelajari oleh guru pelatih di universiti maupun di institut-institut perguruan. Menurut Kamus Dewan Edisi keempat, pengurusan bermaksud mengurus sesuatu atau perihal mengurus. Hal ini merujuk kepada maksud yang lebih luas iaitu ke arah untuk mengendalikan sesuatu agar lebih teratur dan tersusun. Dalam konteks pendidikan, pengurusan kelas yang baik boleh menjurus kepada situasi yang lebih baik dan berprosedur sempurna untuk mencapai objektif-objektif aktiviti yang lebih berkesan dan bermakna. Pengurusan kelas ialah suatu aspek yang penting dalam melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Bilik darjah merupakan medan perjuangan utama seorang guru menjalankan tugas, peranan dan tanggungjawab. Sehubungan dengan itu, kelas perlu diurus dengan keadaan terbaik dan kondusif agar pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan efektif serta guru boleh dinobatkan sebagai pendidik berketerampilan cemerlang. Terdapat beberapa aspek yang penting untuk menguruskan bilik darjah supaya ia lebih ceria dan sesuai untuk proses pembelajaran dan pengajaran.
Antara aspek yang penting untuk menguruskan kelas ialah aktiviti pengajaran berkumpulan. Aktiviti pengajaran berkumpulan merupakan kaedah pengajaran yang melibatkan pelajar membentuk beberapa kumpulan yang mana pengelompokan pelajar berdasarkan peringkat kebolehan, pelbagai bebolehan dan minat masing-masing. Maksud pengelompokan pelajar berdasarkan kebolehan adalah pembentukan kumpulan pelajar yang terdiri daripada pelajar yang sama kebolehan. Kebiasaannya kumpulan ini dilabelkan sebagai kumpulan cerdas, serhana atau lemah. Seterusnya adalah pengelompokan pelajar mengikut pelbagai kebolehan. Dalam kumpulan ini, guru telah kumpulkan pelajar daripada pelbagai kebolehan dalam satu kelompok yang terdiri daripada murid yang cerdas, sederhana dan lemah. Contohnya, setiap ahli kumpulan terdiri daripada pelajar yang pandai membaca, pandai menulis, aktif dalam kerja praktikal dan lain-lain. Manakala untuk pengelompokan pelajar mengikut minat pula ia dikelompokkan mengikut minat dan bakat murid. Contohnya pelajar minat melukis dan pelajar minat muzik. Kunpulan ini bersifat kekal atau sementara berdasarkan aktiviti pelajaran, kehendak serta keperluan guru dan murid. Kesemua pembentukan kumpulan ini bertujuan untuk memudahkan guru membimbing pelajaran dan menggalakkan penglibatan aktif pelajar semasa proses PdPc. Kaedah ini juga berkesan bagi mengatasi masalah yang pencapaian pelajar yang mendapat tahap pendidikan yang lemah kerana kaedah ini melibatkan interaksi antara pelajar dengan guru dan pelajar dengan pelajar. Menurut Woolfolk (1995), beliau mencadangkan situasi interaksi sesama pelajar adalah perlu untuk membantu proses berfikir pelajar. Guru mestilah bijak untuk menyusun atur kedudukan pelajar dalam kelas yang sesuai dengan pembelajaran abad ke-21.
Seterusnya, aspek yang penting untuk menguruskan kelas ialah aktiviti pengajaran secara individu. Pembelajaran secara individu penting kerana untuk memastikan setiap pelajar dapat menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira mengikut tahap kebolehan masing-masing. Hal ini dikatakan demikian kerana, Setiap individu yang lahir adalah berbeza kebolehan antara satu sama lain. Menurut Khairul Yusri (2007), perbezaan individu bermaksud variasi atau ketidaksamaan individu daripada norma kumpulannya sama ada dari segi sifat kognitif, emosi, fizikal, moral, tingkah laku, sosial atau bakat dan aspek aspek yang lain mungkin terdapat sesama individu dalam sesuatu kumpulan. Oleh itu, guru-guru harus memahami perkara ini di kalangan pelajar-pelajar kerana ia boleh mempengaruhi pembelajaran di dalam kelas. Dalam hal ini, pengajaran secara individu boleh dilakukan dengan menjalankan aktiviti dalam kumpulan yang kecil dalam kelas. Guru mestilah mewujudkan satu situasi pembelajaran yang dapat merangsang murid untuk belajar. Setiap guru perlu menyediakan panduan khusus supaya pelajar mengikuti apa yang diarahkan oleh guru semasa berada dalam kelas. Hal ini dapat membantu dalam pengembangan kemahiran berfikir pelajar dan bertindak dengan sendiri dalam membuat keputusan.
Selain itu, aspek yang penting untuk menguruskan kelas ialah penyediaan bahan pengajaran. Penyediakan bahan pengajaran merujuk kepada segala bahan yang digunakan dalam proses pembelajaran dan pengajaran yang merangkumi alat dan isi pelajaran. Bahan pengajaran ini digunakan sebagai rangsangan untuk mewujudkan situasi pembelajaran yang lebih bermakna dan berkesan. Bahan pengajaran merupakan elemen penting yang memudahkan komunikasi antara guru dengan murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran. penyediaan bahan pengajar ini penting kerana ia akan menjelaskan kepada pelajar tentang apa yang hendak diajar dan juga untuk membantu pelajar memahami apa yang hendak dipelajari. Terdapat dua jenis bahan yang perlu disediakan oleh guru sebelum ke kelas iaitu bahan hidup dan bahan bukan hidup. Contoh bahan hidup adalah manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Manakala bahan bukan hidup pula adalah elektronik (audio dan visual), bukan elektronik- (bahan cetak, bukan cetak), bahan-bahan 3 dimensi(semula jadi dan buatan manusia). Setiap guru perlu bijak memilih bahan pengajar supaya objektif pengajaran dan pembelajaran dapat dicapai dengan berkesan. Guru perlu merancang terlebih dahulu sebelum memilih bahan dan merancang strategik asas untuk menyampaikan maklumat tersebut kepada pelajar.
Kesimpulannya, jelaslah bahawa pengurusan kelas merupakan tugas penting yang memerlukan pengetahuan, kemahiran, kesabaran dan komitmen yang optimum bagi memperoleh kesan yang maksimum. Oleh itu, setiap guru perlu mendapatkan maklumat secukupnya tentang bilik darjah dan pelajar-pelajarnya terlebih dahulu sebelum masuk ke dalam kelas berkenaan. Selain itu, guru perlulah membuat perancangan yang rapi bagi menguruskan bilik darjah supaya kelas yang sedia ada akan lebih ceria dan berkesan semasa proses pembelajaran dan pengajaran berkesan. Seterusnya, guru juga perlu menguasai pelbagai kemahiran dalam menguruskan aktiviti kumpulan, aktiviti individu dan bahan pengajaran agar belajar dapat menerima dan faham apa yang mereka pelajari.
RUJUKAN
Kamus Dewan (2017), Maksud pengurusan. Kamus Dewan Edisi Keempat. Diperoleh daripada http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=pengurusan
Woolfolk, A. E. (1995). Educational Psychology (6th Edition). Boston: Allyn &Bacon.
Mohd Hasani Dali & Mohamad Johdi Salleh (2009). Pengurusan bilik darjah. Universiti Utara Malaysia: Kedah diperoleh daripada http://irep.iium.edu.my/13309/1/Chapter_-_Pengurusan_Bilik_Darjah_-_2009.pdf
No comments:
Post a Comment