Misi Kementerian Pelajaran Malaysia ialah membangunkan sistem pendidikan yang berkualiti bertaraf dunia agar generasi yang dilahirkan nanti mampu bersaing dengan persaingan yang sengit dalam era globalisasi pada masa kini. Namun begitu, bagi menjadikan impian Kementerian Pelajaran Malaysia menjadi kenyataan guru perlu memainkan peranan penting di peringkat sekolah. Di sekolah, selain daripada tugas guru mengajar pelajar, guru juga memainkan peranan dalam membuat pengurusan dalam pelbagai aspek terutamanya pengurusan bilik darjah. Pengurusan bilik darjah yang baik dan sistematik dapat meningkatkan keupayaan murid untuk belajar dan dapat menyelesaikan banyak masalah disiplin di sekolah. Kecekapan guru dalam menjalankan tugas sebagai pengurus akan mewujudkan sosioemosi yang selesa, disiplin kelas yang baik dan keadaan bilik darjah yang kondusif dan sesuai bagi meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Menurut Haji Samsudin bin Md Noor, pengurusan bermaksud satu proses untuk mendapatkan penyertaan, kerjasama dari semua ahli dalam mencapai matlamat kumpulan. Manakala menurut Lee Shok Mee (1993), alam pembelajaran bermaksud keadaan atau suasana belajar yang dapat merangsang minat belajar kanak-kanak dalam mencapai matlamat perubahan tingkah laku ke arah positif dan daripada tidak tahu kepada tahu. Dalam hal ini, bagi menjadi pengurusan yang sistematik dan berkesan. Persediaan yang rapi akan membolehkan seorang guru menghadapi segala kemungkinan yang berlaku semasa proses pembelajaran di jalankan. seseorang perlu membuat beberapa persediaan sebelum masuk ke alam pembelajaran. Antara persediaannya ialah menentukan objektif pengajaran dan pembelajaran, menyediakan rancangan mengajar, dan kepelbagaian kaedah mengajar.
Bagi persediaan yang pertama, guru perlulah menentukan objektif pengajaran dan pembelajaran terlebih dahulu sebelum menjalankan proses pembelajaran. Dalam hal ini, ciri-ciri seorang guru yang berkesan atau cemerlang ialah dapat menentukan objektif pengajaran dan pelajaran secara jelas dan teratur berdasarkan tahap pencapaian pelajar mereka. Semua sedia maklum bahawa, guru yang mengajar lebih mengetahui terhadap kelemahan dan kelebihan pelajar mereka semasa di bilik darjah. oleh itu, objektif ini penting untuk dimaklumkan kepada pelajar supaya membolehkan mereka menyedia dan mengubahsuai mind-set yang tepat terhadap pengetahuan, kemahiran dan perlakuan yang perlu dicapai apabila pembelajaran tamat. Dengan adanya objektif ini, guru juga dapat mengajar secara berkesan dan tidak terpesong dari objektif yang sepatutnya dicapai atau dengan kata lain, objektif ini digunakan sebagai panduan kepada juga untuk menjelaskan berkaitan tajuk yang dipelajari. Hal ini juga membolehkan seseorang guru mengukur dan menilai tahap pencapaian murid berasaskan hasil pembelajaran yang dipelajari sama ada murid faham ataupun tidak. Hal ini jelas membuktikan bahawa menentukan objektif ini merupakan elemen yang sangat penting agar dapat menjadikan pembelajaran dan pengajaran secara berkesan.
Seterusnya, persediaan yang diperlu dilakukan oleh seseorang guru ialah persediaan menyediakan rancangan mengajar di sekolah. Persediaan ini perlu dilakukan sebelum memulakan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, penyediaan ini penting kepada semua guru termasuklah guru yang berpengalaman, guru cemerlang dan guru pakar. Hal ini kerana, sekiranya tidak perancangan mengajar ini seoarang guru akan mengajar tidak mengikut objektif yang telah ditetapkan dan tidak menjadikan pembelajaran dan pengajaran secara berkesan. Persediaan mengajar oleh guru akan melibatkan masa yang berbeza mengikut pencapaian murid, kelas, bahan, dan kearifan individu guru. Dalam hal ini, guru perlulah kreatif dalam merancang pembelajaran yang berkesan. Objektif dan isi pelajaran perlu disusun mengikut keutamaan atau kefahaman murid, seperti bermula daripada aspek yang mudah kepada yang lebih sukar, aspek yang berada dalam pengetahuan atau pengalaman murid kepada perkara yang belum berada dalam pengetahuan dan pengalaman mereka. Setiap perkembangan pelajaran perlu diikuti dengan melakukan aktiviti murid secara terancang dan sebahagainnya secara spontan oleh kreativiti seseorang guru. hal ini jelaslah bahawa kejayaan pelajar adalah bergantung pada rancangan mengajar yang berkesan.
Selanjutnya, kepelbagaian kaedah mengajar juga merupakan persedian yang perlu dilakukan untuk menempuhi alam pengajaran. Hal ini merujuk kepada cara, teknik atau pendekatan yang digunakan oleh guru di bilik darjah untuk menarik perhatian pelajar supaya sentiasa fokus dan faham yang yang diajar. Pembelajaran akan berkesan sekiranya guru menggunakan pelbagai kaedah yang bersesuai dengan isi pembelajaran dan pencapaian murid. Dalam hal ini, guru perlulah mengusai pelbagai kaeadah supaya tidak menggunakan satu kaedah sahaja untuk mengajar. Seseorang guru perlu sentiasa mengubahsuai strategi mengikut jangkaan keberkesanan penggunaan sesuatu kaedah. Guru yang mempunyai cita-cita untuk menjadikan pengajarannya dalam bilik darjah berkesan dan efektif, beliau seharusnya membuat kajian akan kaedah-kaedah yang digunakan untuk menjadikan pembelajaran dan pelajaran berkesan. Kajian saintifik perlu dibuat bertujuan untuk menilai kekuatan dan kelemahan kaedah yang digunakan Hal ini juga, guru perlu mengenal pasti terlebih dahulu berkaitan cara dan kaedah yang sesuai digunakan oleh pelajarnya supaya suasana ceria dapat diwujudkan dalam bilik darjah. Sebagai contoh, guru menggunakan video untuk mengajar mata pelajaran geografi agar pelajarnya lebih faham dan jelas tentang proses yang terjadi di persekitaran bumi.
Keseimpulannya, persediaan mengajar ini dalam pengurusan alam pembelajaran merupakan satu langkah yang penting untuk diterapkan kepada semua guru di Malaysia. Hal ini kerana, guru merupakan tunjang belakang negara bagi melahirkan masyarakat yang berkualiti dan seimbang dari segi pelbagai aspek iaitu jasmani, rohani, emosi dan interlek seiring dengan Falsafah Pendidikan Negara. Tanpa bersedia yang rapu kemungkinan misi Kementerian Pendidikan Malaysia tidak dapat dicapai. Oleh itu, Semua pihak hendaklah komited dalam memainkan peranan masing-masing supaya memastikan bakal guru di Malaysia dapat membuat persedian yang rapi sebelum masuk ke alam pembelajaran sebenar ke sekolah.
RUJUKAN
Mohamad Johdi Salleh. (2007). Guru efektif dan peranan guru dalam mencapai objektif persekolahan sekolah rendah: Perspektif Guru Besar. Seminar Penyelidikan Pendidikan Institut Perguruan Batu Lintang Tahun 2007. Diperoleh daripada http://www.ipbl.edu.my/portal/penyelidikan/seminarpapers/2007/Edmanagement/mohdjohdiUIAMfp.pdf
Mrhafizzul (2018). Pengurusan Alam Pembelajaran. blog. Diperolehi daripada http://mrhafizzul.blogspot.com/2018/11/bab-14-pengurusan-alam-pembelajaran.html
Lee Shok Mee (1993). Psikologi Dalam Bilik Darjah. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman.
Haji Samsudin bin Md Noor, http://www.google.com.my
No comments:
Post a Comment