Sunday, April 21, 2019

BAB 12: Sekolah dan Persekitaran


Sekolah merupakan suatu tempat yang sangat penting untuk kehidupan manusia dan negara. Sekiranya tidak wujud sekolah, maka segala perancangan dalam sektor pendidikan akan terganggu dan tidak dapat dijalankan. Secara umumnya,  sekolah merupakan sebuah tempat pendidikan yang bersifat formal dan tidak formal kepada pelajar sebagai persediaan untuk mereka menempuh ke alam pekerjaan kelak. Menurut Kamus Dewan Edisi keempat, sekolah merujuk kepada tempat untuk belajar dan mengajar, tempat menerima dan memberi pelajaran. Sekolah juga selalu dikenali sebagai pusat penyebaran ilmu untuk mendidik anak. Sekolah berfungsi untuk memberi layanan kepada peserta didik agar mampu memperoleh pengetahuan dalam akademik yang diperlukan dalam kehidupan dan diperlukan oleh negara. Manakala, persekitaran sekolah merujuk kepada suasana dalam sekolah dan masyarakat yang tinggal berhampiran dengan sesebuah sekolah. Persekitaran sekolah yang baik dan kemas sudah tentu dapat mempengaruhi perkembangan pelajar di sekolah. Dalam hal ini, suasana fizikal bilik darjah yang kondusif juga penting untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Bangunan sekolah yang indah, kawasan sekolah yang bersih dan ditanam dengan pelbagai jenis pokok memberikan keselesaan dan ketenangan kepada murid. Berdasarkan tajuk ini, terdapat beberapa sub topik yang penting untuk diketahui iaitu berkaitan hubungan sekolah dengan masyarakat, guru dan ibu bapa serta isu-isu pendidikan semasa.
Berkaitan sekolah dan persekitaran, tidak dapat dinafikan lagi bahawa sekolah dengan masyarakat sememangnya mempunyai hubungan antara satu sama lain. Hubungan merupakan suatu bentuk jaringan yang kompleks iaitu saling bergantung antara satu dengan yang lain. Menurut Seng. T. W (2005), sekolah mestilah mengamalkan sikap tiga dimensi di mana sekolah akan bertoleransi dengan ibu bapa serta masyarakat. Mereka mestilah mencapai objektif yang sama berkaitan masa depan anak-anak mereka. Sebagai contoh, apabila sekolah ingin mencapai sesuatu objektif maka ibu bapa dan masyarakat harus berganding bahu untuk merealisasikan objektif tersebut. Hubungan baik antara sekolah dengan masyarakat merupakan elemen yang penting untuk memudahkan menjalankan sesuatu program seperti program PIBG. Program ini ditubuhkan adalah untuk membincangkan tentang cara dan strategik akan pihak sekolah jalankan untuk kepentingan anak mereka. Selain itu, hubungan ini juga adalah untuk kepentingan perkongsian maklumat. Pihak masyarakat perlu bekerjasama dalam memberi maklumat terhadap salah laku pelajar yang dilakukan di luar kawasan sekolah agar isu ini dapat diatasi dengan segera.
Selain itu, guru dan ibu bapa juga merupakan sub topik yang penting di bawah tajuk sekolah dan persekitaran. Hal ini kerana, hubungan baik antara guru dan ibu bapa mampu mempengaruhi perkembangan pendidikan anak-anak, sekali gus membantu kejayaan mereka. Ibu bapa hendaklah menjadi role model kepada anak mereka supaya anak mereka lebih semangat untuk hadir ke sekolah dan dapat menjalankan proses PdPc secara berkesan. Terdapat bentuk-bentuk hubungan interaksi antara pihak sekolah dengan pihak luar sekolah terutamanya ibu bapa. Dalam hal ini, penglibatan ibu bapa dalam apa sahaja aktiviti membabitkan anak mereka di sekolah sangat digalakkan. Contoh ibu bapa perlu menghadirkan diri dalam jemputan sekolah untuk memberi motivasi dan sokongan kepada guru dan murid. Selain itu, ibu bapa juga boleh membina jaringan hubungan di sekolah melalui sumbangan dana dan kepakaran dalam bidang-bidang tertentu. Sebagai contoh, ibu bapa boleh sumbangkan tenaga mereka untuk menceriakan kelas melalui persetujuan guru kelas. Seterusnya adalah ibu pada juga boleh memberi tahu tentang sikap anaknya di rumah yang kurang sopan agar guru dapat menasihati pelajar tersebut supaya mengubah sikapnya.
Seterusnya ialah isu-isu pendidikan semasa yang terjadi di sekolah juga merupakan sub topik yang penting untuk dibincangkan. Terdapat beberapa isu yang terjadi sekolah iaitu masalah disiplin, tanggungjawab dan keselamatan. Masalah disiplin yang dilakukan oleh cikgu merupakan isu yang perlu dititikberatkan. Masalah disiplin dalam kalangan guru biasanya terjadi akibat perselisihan faham antara guru. Ini mungkin berlaku apabila komunikasi antara bahagian kurang berlaku dan saling menuding jari apabila wujudnya sesuatu masalah. Faktor lain juga boleh dikaitkan iaitu faktor masalah rumah tangga. Tekanan emosi akibat daripada masalah di rumah akan terbawa ke tempat kerja dan seterusnya mengganggu kebolehan guru tersebut untuk bekerja. Kesemua faktor ini telah mendorong seorang guru untuk melakukan masalah disiplin di sekolah seperti tidak masuk kelas, tidak berpakaian mengikut etika, keluar sekolah sesuka hati dan sebagainya. Selain itu, terdapat juga isu guru tidak menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi. Ini berlaku apabila guru tersebut mengajar kelas tambahan di luar dan mendapat pendapatan yang lumayan dan dengan itu pengajaran di sekolah tidak dititikberatkan lagi. Seterusnya isu keselamatan pelajar juga isu yang serius dalam kalangan guru. kebanyakan guru memandang remeh akan keselamatan pelajar apabila guru menggunakan kenderaan mereka untuk bawa keluar pelajar dari sekolah. Masalah ini tambah serius apabila berlaku kemalangan jalan raya semasa menggunakan kereta sendiri. Selain daripada masalah ini, masalah keselamatan seperti kes-kes bunuh, rogol, culik, ragut dan sebagainya ke atas pelajar adalah sangat membimbangkan guru-guru di sekolah.
Kesimpulannya, hubungan mesra yang terbina di antara sekolah dan ibu bapa ini sangat digalakkan untuk masa akan datang. Selain itu, ia juga dapat meningkatkan nama dan prestasi sekolah dalam mencapai kejayaan seseorang murid. Jadi hubungan ini sangat penting di sesebuah sekolah untuk mencapai sekolah yang cemerlang bersama ibu bapa dan masyarakat. Oleh itu, semua pihak haruslah memberi komitmen yang sepenuhnya dalam memastikan objektif sekolah dapat dicapai dan dapat bekerjasama dalam menangani isu-isu yang berlaku dalam kalangan guru.

RUJUKAN
Sarvinder Singh & Ahmad Bin Esa. (2008). Kepimpinan dalam menghadapi isu-isu semasa pendidikan. Keterangan: Seminar Kebangsaan Pengurusan Pendidiikan PKPGB 2008, 16 Oktober 2008, UTHM. Diperoleh daripada http://eprints.uthm.edu.my/2712/1/21._PKPGB_2008_1.pdf
Mohd Fazli Hasan, Suhaida Abdul Kadir & Soaib Asimiran, (2013). Hubungan persekitaran sekolah dengan penglibatan pelajar dalam aktiviti. Jurnal Pendidikan Malaysia, 38(2), 1-9. Diperoleh daripadahttp://www.ukm.my/jurfpend/JPM%2038(2)2013/1mohdfadli.pdf
Seng, T. F. (2005). Penyelidikan Tindakan: Perkembangan Profesionalisme Ke Arah Pengamalan Reflektif dan Penambahbaikan Sekolah. 
Prosiding Seminar Penyelidikan Tindakan Tahun 2005. 1-8.

No comments:

Post a Comment