Sunday, April 21, 2019

BAB 11: Pengurusan Murid Pelbagai Upaya


Pengurusan murid merupakan satu agenda penting dalam sebuah institusi pendidikan seperti sekolah. Menurut Khairul Yusri (2007) pelbagai upaya merujuk kepada perbezaan pelajar adalah dari segi ketidaksamaan aspek pembangunan dan perkembangan secara fizikal, mental, emosi dan keupayaan dalam kalangan pelajar. Pengurusan murid pelbagai upaya merupakan satu langkah yang diambil untuk membantu murid-murid yang mengalami masalah dalam pembelajaran. Hal ini merujuk kepada perancang untuk mengadakan satu program pendidikan yang menggunakan kaedah yang sesuai untuk membantu perkembangan fizikal, intelek, emosi dan sosial individu-individu yang berkeperluan khas serta membincangkan bagaimana pengurusan yang khusus kepada pelajar yang berkeperluan khas. pengurusan murid yang berkesan dan sistematik akan memberi kesan yang positif terhadap personaliti murid seperti tingkah laku, kemahiran berfikir, kecerdasan kognitif, intrapersonal dan interpersonal. Pengurusan murid pelbagai upaya ini memfokuskan kepada empat topik perbincangan iaitu pemulihan, pengayaan dan pelbagai kecerdasan.
Pemulihan merupakan satu aktiviti pengajaran dan pembelajaran alternatif yang digunakan untuk membantu murid yang menghadapi masalah di dalam kelas. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), perkataan “pulih” bermaksud kembali seperti biasa atau kembali dalam keadaan semula. Manakala “pemulihan” pula bermaksud perbuatan memulihkan dan pengembalian kepada keadaan semula. Hal ini boleh dikaitkan dengan satu kaedah yang digunakan untuk membantu pelajar yang mengalami masalah yang berkaitan pembelajaran dalam bilik darjah. Dalam hal ini, guru memainkan peranan penting dalam mengenal pasti masalah pelajar semasa berada dalam bilik darjah. Setelah kenalpasti masalah pelajar, guru perlulah mengatur mengatur langkah-langkah yang sesuai dalam pengelolaan sesi pemulihan, menguruskan aktiviti pengajaran pemulihan, menentukan strategi pengajaran dan pembelajaran, menyediakan bahan pembelajaran dalam sesi pemulihan, dan mengambil tindakan susulan yang sewajarnya. Sebagai contoh, guru yang telah mengenal pasti pelajar yang tidak boleh membaca dan menulis semasa berada dalam bilik darjah. ekoran itu, guru perlu menyediakan satu buku latihan dan kelas pemulihan untuk melatih mereka supaya mereka dapat membaca dan menulis seperti orang lain. Pelaksanaan program pemulihan ini adalah bertujuan untuk menghakis jurang perbezaan terutamanya pencapaian murid dalam sesuatu aktiviti. Sekiranya matlamat ini dapat dicapai, golongan pelbagai upaya ini tidak merasa diri mereka disisihkan dan mereka dapat belajar bersama-sama dalam suasana pembelajaran yang lebih baik dalam kelas.
Seterusnya adalah pengayaan. Pengayaan merujuk kepada sejenis aktiviti pembelajaran yang menarik dan mencabar  yang memberi peluang kepada pelajar mengembangkan lagi sifat ingin tahu, semangat berdikari, daya cipta serta bakat kepimpinan mereka. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), perkataan “gaya” pula membawa maksud sikap dan cara berkelakuan yag menjadi ciri seseorang. Manakala “pengayaan” pula bermaksud perihal (usaha, proses, pencorakan) menggayakan. Dalam melaksanakan program pengayaan ini, beberapa prinsip perlu diberi perhatian. Antaranya ialah memberi penekanan kepada aktiviti yang bersifat kreatif dan eksperimental, membuat kerja sendiri dan hasilan kerja, menggunakan daya usaha sendiri, memberi peluang untuk mengembangkan sifat kepimpinan sosial, menggunakan kaedah dan organisasi yang mudah diubah serta melibatkan pembacaan yang luas. Contohnya, guru perlu membentuk satu kumpulan kecil antara pelajar dan diberikan satu tajuk setiap kumpulan untuk dibentang. Setiap ahli kumpulan perlulah mempunyai ketua dan ahli-ahlinya bagi menyiapkan tugasan yang diberi. Setiap kumpulan perlu kretif bagi menyediakan pembentangan yang menarik dan mudah difahami. Kebiasaan bahan bantu belajar yang sering digunakan untuk aktiviti pengayaan seperti kad-kad bacaan tambahan, lembaran kerja, permainan dan rekreasi, dan alat-alat teknologi yang lain haruslah mengandungi penerangan dan penjelasan yang jelas.
Selanjutnya, pelbagai kecerdasan juga merupakan subtopik yang difokuskan dalam tajuk Pengurusan murid pelbagai upaya. Dalam pendidikan, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat juga pelbagai kecerdasan dalam kalangan murid. Menurut Gardner (1983), jenis kecerdasan yang dikenal pasti adalah visual-linguistik, logik-matematik, visual-ruang, kinestetik, muzik, interpersonal, intrapersonal dan naturalis. Setiap murid mempunyai kecerdasan yang berbeza-beza. Setiap kecerdasan perlu dinilai sama rata dan sama berat. Dalam konteks pendidikan guru memainkan peranan penting untuk merancang  aktiviti dalam pengajaran dan pembelajaran supaya dapat memenuhi keperluan kecerdasan iaitu yang terdiri daripada sembilan kecerdasan yang diperkenalkan oleh Gardner. Kecerdasan seseorang pelajar dapat diransang atau dipertingkatkan melalui peluang pendidikan seperti menyediakan persekitaran pembelajaran yang ceria, kaya dengan bahan bacaan dan aktiviti yang tidak membosankan.
Kesimpulannya. pemulihan, pengayaan dan pelbagai kecerdasan mempunyai hubungkait di antara satu sama lain. Dalam hal ini, guru di sekolah haruslah kreatif dalam menjalankan P&P di dalam kelas serta bijak dalam memberikan pendidikan kepada murid mengikut tahap mereka. pelajar-pelajar pelbagai upaya memerlukan pengajaran pada kelajuan yang sesuai, kerja kognitif yang berpatutan, standard prestasi yang realistic dan peluang sesuai untuk mereka mencapai potensinya. persekitaran yang sesuai untuk perkembangan potensi pelajar pintar cerdas adalah seperti kelas yang kecil (10-15 murid), masa ditingkatkan untuk aktiviti kognitif, kelajuan yang sesuai, dan peningkatan masa pengajaran guru, memberi tugasan yang bersesuaian banyak dan tumpuan kepada kognitif di dalam pembelajaran.

RUJUKAN
Siti Rahayah Ariffin, Roseni Ariffin, Arbaiyah Md Zin & Nik Noralhuda Nik Mohamed. (2011). Faktor kecerdasan pelbagai dalam pembentukan profil remaja. Malaysian Journal of Learning and Instruction. 8. 183-204. Diperoleh daripada http://mjli.uum.edu.my/images/pdf/8mjli/mjli89faktor.pdf
Kamus Dewan (2017), Maksud Pulih. Kamus Dewan Edisi Keempat. Diperoleh daripada http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=pulih
Gardner, H. (1983). Frames of mind: A theory of multiple intelligences. New York: Basic Book.
Khairul Yusri. (2007). Pelan Induk Pendidikan (PIPP), Kementerian Pelajaran Malaysia, Malaysia.

No comments:

Post a Comment